Monday, October 27, 2014

Tak Pandai

Entah
Keliru
Bingung
Apa kata perlu ditutur lagi
Apa ayat perlu dikarang lagi
Apa rasa perlu ditunjuk lagi

Semuanya kau tak faham.


Mode: Hari yang sekejap mendung, dan sekejap panas. Tak sabar nak bercuti lama bulan depan :) Kadang-kadang rasa masalah orang lagi banyak yang difikirkan dari masalah sendiri. Itu amanah. Hadap sajalah! Hehe.


Sumber Pic; Google Image

Saturday, October 25, 2014

Penat Berbilang

Pheww~Lamanya awak ditinggalkan. Maaf. Tapi bukan sengaja. Kesibukan tahap melampau ;). Malam kelam begini mata masih tak upaya lelap. Jadi mari kita berpuisi. Hehe.

Berapa kali aku mesti bilang?
Berapa kali?
Berapa kerap aku harus bicara?
Berapa kerap?
Berapa banyak aku kena khabar?
Berapa kerap?
Kenapa kau masih belum mengerti?
Kenapa kau masih belum faham?
Kenapa kau masih belum nampak?

Aku tersiksa begini kerna kau buta menilai.


Mode: Tadi aku ke mahkamah untuk prosedur reman. Penahanan reman adalah satu penahanan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di mana satu perintah yang diberikan kepada pihak polis untuk menahan Orang Yang Disyaki (OYDS) untuk siasatan lanjut. Bergantung kepada kes. Ada yang tempoh tahanan reman selama 7 hari (4 hari + 3 hari) dan ada juga 14 hari (7 hari + 7 hari). Maksudnya sekiranya pihak polis tak dapat melengkapan siasatan dalam bilangan hari yang pertama itu, mereka boleh memohon untuk tempoh sambung reman, yakni bilangan hari yang kedua. Sebanyak mana pun bilangan hari yang dibenarkan adalah di bawah bidang kuasa Majistret. Ok, sebenarnya aku nak cerita yang lain. Hehe. Sedang aku 'interview' OYDS, tiba-tiba ada OYDS ni adalah jiran aku. Dia pun macam malu-malu alah. Kiranya macam tak sengaja aku mewakili dia. Bila balik rumah cerita kat ma, ma punya soalan macam ni, 'tak pa kak wakil dia, sat lagi dia dendam pulak'. Aku faham kerisauan ma tu tapi apa yang dia nak dendam, aku siap tolong kurangkan tempoh reman dia lagi. Dulu ya, aku sedikit takut sebab nak berhadapan dengan orang yang terlibat dengan kes jenayah. Tapi sekarang, keyakinan tu dah menjelma. Tak semua yang ditangkap itu orang salah dan tak semua keterangan orang yang ditangkap itu betul. Untuk kes jenayah, aku cuma berani untuk buat reman dan juga kurangkan hukuman. Bicara belum lagi sebab ia bermain dengan hidup mati dan masa depan seseorang. Seriau! Semoga kita semua dijauhkan dari bala bencana dan dengki khianat orang. Amin.


Sumber Pic: Google Image


Sunday, September 7, 2014

Ini Rahsia

Toleh kanan
Nampak
Paling kiri
Terpandang
Pejam mata
Terbayang-bayang
Banyaknya jelmaan kau
Dengar lagu, ingat kau
Tengok cerita romantis, ingat kau
Senyum sendiri pula
Akukah yang gila?
Bukan, mungkin angau
Tapi
Sebab semua itu hanya satu
Tapi malu mengaku

Rindu.


Sumber pic: Google Image

Monday, September 1, 2014

Pinta

Mampir
Dan terus mampir lagi
Jangan menjauh
Dan jangan meninggalkan

Kaku
Dan terus kaku disisiku
Jangan bergerak
Dan jangan pergi

Janji?


Sumber Pic: Google Image

Thursday, August 28, 2014

Kelu Kalam

Kadang waktu
Bisa buat aku buntu
Kadang masa
Bisa buat aku terpana
Kemungkinan
Apa yang bakal tiba
Tidak terdaya
Mengagak meneka
Kadang kata
Tersilap bicara
Kadang laku
Terkhilaf kelu

Hambar.


Sumber Pic: Google Image



Wednesday, July 9, 2014

Dugaan Ramadhan

Hari ni sedikit rasa sedih, kecewa dan arghhhhh.. tak tau nak cakap macam mana dah. Cuma macam ni la, bila kita bekerja tu, kena la tengok orang di bawah sama. Jangan pandang diri kita di atas saja. Tak selamanya kita di atas. Kena hargai juga orang bawah yang banyak sokong dan tolong kerja kita. Hargai! Manusia tetap manusia kan. Bila ada kata yang tak dikota, sedikit sebanyak rasa ditindas dan dianiaya tu ada. Terasa untuk mengungkit semula apa yang pernah dibuat dan dilaksana. Itu semua sebab bila geram dirasa.

Tapi..dugaan untuk Gaza lebih hebat. Kejamnya kau wahai Israel. Apa salah kanak-kanak yang tidak berdosa itu? Hanya nak tunjukkan kau hebat dan kuat? Dah memang terbukti kau hebat kan, jadi cukup-cukuplah mereka ditindas. Apa lagi yang kau nak dari mereka?

Ya Allah, kau selamatkanlah mereka yang tidak berdosa itu, mereka yang teraniaya itu dari segala bala dan bencana dari Israel. Kau berikanlah syurga-Mu buat mereka yang meninggal. Moga kau ditempatkan bersama para mujahidin yang lain. Amin.


Sumber Pic: Google Image

Wednesday, June 18, 2014

Bingkisan Hati

Tanpa disangka kau tiba
Tanpa diduga kau hadir
Tanpa diharap kau muncul
Dan tanpa dipaksa kita menerima

Semua yang berlaku itu ajaib
Semua yang terjadi itu magik
Semua yang menjelma itu anugerah
Dan semua yang dimiliki itu takdir

Bagai mimpi kau tidak ditunggu
Bagai baru terjaga kau terus berada di depan mata
Bagai pernah bertemu kau terus bersetuju
Dan bagai ditarik magnet kita yakin ampuh bersama

Kita berdua tidak pernah menyangka ini
Kita berdua tidak pernah menduga ini
Kita berdua tidak pernah merasakan harapan sebegini
Dan kita berdua berbunga menerima cinta yang ditentukan ini.


Mood: Tak lama dah untuk kita menempuh Ramadhan al-Mubarak. Semoga terus diberi kesempatan dan dipanjangkan umur untuk menyambut bulan penuh barakah ini. Saya lahir pada 14 Ramadhan 1406H. ;)


Sumber Pic: Google Image

Sunday, June 15, 2014

Tak Mungkin

Jujur
Aku tidak pernah berdendam
Jujur
Aku menerima setiap kemaafan
Jujur
Aku mampu anggap kau cerita semalam
Cuma
Jangan datang mampir padaku lagi
Cuma
Aku tak ingin kau kembali dan mencari aku

Jangan ambil tahu tentang kisah aku lagi kerana aku takut untuk mencipta memori

Lagi dan kembali.


Mood: Phewww~Lamanya blog ni tak di'update'. Malas + kurang waktu. Hehe. Begini rasanya pening untuk diri sendiri untuk perkara itu yang bakal terjadi tak lama lagi. Gituuu~hehe. Mohon didoakan supaya segalanya dipermudahkan sehingga ke akhirnya. Amin.


Sumber Pic: Google Image

Thursday, May 8, 2014

Emosi

Kalau masing-masing dah ada pasangan masing-masing, tolonglah jujur dan setia. Jangan cuba-cuba nak menjadi bertanggungjawab untuk orang lain sedangkan terhadap pasangan anda sendiri pun anda tak mampu nak bertanggungjawab.

Kepada si lelaki, kalau betul nak buktikan anda tu seorang yang bertanggungjawab, mampu melindungi, buktikan kepada isteri anda, bukan kepada perempuan lain. Isteri anda tu amanah untuk anda. Didik dia, beri kasih sayang padanya, bukan abaikan dia. Maaf, anda hilang hormat dari saya kalau begini cara anda mengawal keluarga. Malah, anda sebenarnya tak layak untuk jadi ketua keluarga.

Kepada si perempuan, tak sedarkah anda syurga anda di bawah telapak kaki suami saat akad terlafaz? Kenapa perlu mencipta bahagia dalam keadaan berdosa sedangkan yang halal menanti di depan mata? Anda dah mencipta dosa, mahu palitkan pula pada sang suami yang tidak tahu apa-apa dan menganggap anda isteri yang baik? Kejamnya anda!

Masing-masing sedang mengambil kesempatan terhadap masing-masing dalam keadaan yang tidak sedar. Sempurna bukan mampu diperolehi dengan sekelip mata, kita yang kena cuba mencipta sempurna. Jika dia kurang di situ, mungkin dia ada lebihnya di sini. Lebihkan apa yang dia kurang. Belajar untuk terima kelebihan dan kekurangan masing-masing walaupun mungkin payah. Perkahwinan dibina untuk saling melengkapi, bukan untuk disakiti.





Mood: Humban ja dalam penjara orang yang macam ni. Ikutkan nafsu sangat. Itulah pentingnya iman di dada. Terlampau bersosial sampai lupa segala batas yang perlu dijaga. Geram!




Sumber Pic: Google Image

Monday, April 21, 2014

Pada Suatu Waktu Dahulu

Pada suatu waktu dahulu
Kita cuma dua watak yang berbeza
Kita cuma dua orang yang tidak mengenal
Kita cuma dua manusia yang jauh

Pada suatu waktu dahulu
Adanya kau dan aku hanya memandang
Adanya kau dan aku saling tidak memberi perhatian
Adanya kau dan aku tidak pernah punya perasaan

Pada suatu waktu dahulu
Pantasnya kita mendekat dan bersama
Pantasnya kita berkongsi rasa dan segala
Pantasnya kita mengatur dan tidak menduga

Pada suatu waktu dahulu
Tidak disangka kita akan bersengketa
Tidak diduga kita mampu membenci sebegini rupa
Tidak diagak kita sanggup bermasam muka

Pada suatu waktu dahulu
Semuanya kini bertukar kata
Mesra kita hilang lagaknya
Tinggal kenangan yang bisa menghantu hariannya.


Mood: K.u.r.a.n.g.r.a.j.i.n.


Sumber Pic: Google Image

Wednesday, April 16, 2014

Tak Apa

Pernah ada rasa itu
Pernah muncul kata itu
Pernah datang masa itu
Pernah jaga hati itu
Pernah rindu manusia itu
Pernah sakit ditolak itu
Pernah luka parah itu
Pernah cipta sengsara itu
Kini sembuh, lega dan lupakan semua itu.


Mood: Rasanya aku pernah suarakan isu ini sebelum ini. Ya, kita punyai hak untuk bercakap. Ya, kita ada kebebasan untuk mengatakan apa yang kita fikir. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memang ada terkandung fasal kebebasan bercakap ini. Tapi, sebebas mana pun kita, perlu renung dan fikir dalam-dalam dulu sebelum ingin cakap apa-apa. Walau sebebas mana pun boleh kita bersuara, tolonglah jangan ingat hanya kita sahaja di dunia. Kau kena pedulikan juga apa yang orang lain rasa. Kau kena jagakan juga hati-hati yang menerima, mata-mata yang membaca dan telinga-telinga yang mendengar. Bebas-bebas kau pun, kau jangan anggap semua orang mampu menerima. Tolonglah. Tilik dulu. Kaji dulu. Teropong dulu.


Sumber Pic: Google Image


Monday, April 14, 2014

Perlu Bahagia

Dingin
Mengapa perlu disambut begitu
Kaku
Tak tahu bagaimana memulakan dulu
Diam
Lidah terpaku membisu terkelu
Buat kau,
Usah diturut rasa nafsumu
Kau campak aku sesukamu
Saat kau tak perlu
Aku mampu semampumu
Namun
Aku bukan kamu.


Mood: Lama betul tak update blog ni. Sibuk dengan urusan peribadi! :)


Sumber Pic: Google Image



Thursday, April 3, 2014

Tanda Tanya

Mengapa membisu
Mengapa
Mengapa diam tanpa kata
Mengapa
Mengapa pergi tanpa seribu bahasa
Mengapa
Mengapa tiada titik noktah
Mengapa
Mengapa mudahnya menjauh diri
Mengapa
Mengapa dulu kau hadir
Mengapa oh mengapa
Dan kini kau sepi.


Mood: Bulan ni sedikit relaks, diary tak sepenuh bulan-bulan sebelum ni. Sangat relaks tapi beban di otak masih ada. Masih tidak boleh jauh, masih mahu dekat, masih menghantui hari-hari aku. Ewah, hehe. Biasa la kan, kalau tak ada masalah, bukan hidup namanya. Tidak akan diuji seseorang hamba Allah itu akan ujian yang tidak mampu ditanggungnya. Ya, Allah itu Maha Adil, lebih mengetahui segala-galanya. Hidup kadang di atas, kadang di bawah. Kita yang kena bersedia untuk menghadapinya.


Sumber Pic: Google Image

Wednesday, March 26, 2014

Kepingin Begitu

Kadang tak mahu
Tapi kau muncul
Kadang tak hendak
Tapi kau cari
Kadang tak ingin
Tapi kau datang
Kau anggap apa?
Kau buat sesuka hati
Kau rasa ini yang sepatutnya?
Kalau begini baik kau hilang saja

Walaupun sebenarnya aku sangat kepingin kau begitu.


Mood: Minggu ni sedikit relaks sebab tak ada court case. Hehe. Beban kerja pun tak banyak. Rasa macam bukan lawyer la pulak. Haha. Tapi bila kerja banyak dan bertimbun-timbun, memang tak sempat menoleh pun. Ok, itu tipu. Haha. Propa saja lebih :D Masih lagi bersedih sebenarnya. Harapan itu masih ada sebabnya bila setiap kali terpandang ke langit, mesti akan berharap flight yang aku nampak tu adalah MH370. Ya, memang masih lagi mengharap walaupun hati ada sedikit redha. Cerita tentang ini, beban yang sangat berat terletak pada CEO MAS. Mestinya beliau sangat tertekan. Tapi bekerja dengan syarikat penerbangan, bukan saja penerbangan, tapi pengangkutan lain pun, memang mereka sedang berurusan dengan nyawa manusia. Itu tanggungjawab dan beban yang terpaksa ditanggung mereka. Mereka pun semestinya nak berikan yang terbaik, bukan? Siapa kita untuk bercakap tentang apa yang mereka sendiri tidak menjangkakan akan terjadi? Siapa juga kita untuk menidakkan apa yang telah ditakdirkan?


Sumber Pic: Google Image

Tuesday, March 25, 2014

Masih Menanti

Kau pergi tanpa pesan
Kau tinggalkan mereka tanpa kata
Kau menghilang tanpa jejak
Kau jauh tanpa tanda
Kau diam tanpa bersuara
Kau biar semua tertanya
Kau jatuhkan semua air mata
Kau hancurkan hati mereka
Sesungguhnya
Harapan masih bersisa
Biarpun rasa seperti tak upaya
Adapun
Kata hati masih mahu percaya kau ada
Namun takdir Illahi melebihi segalanya
Kami akui harus pasrah
Kami akui harus redha.


Mood: Allahurabbi...Allah, Allah, Allah..hari yang sangat emosi. Seluruh Malaysia malah seluruh negara pastinya sedang bersedih. Walaupun jauh dalam hati kecil aku ni, tak ingin menerima sepenuhnya kerana perkhabaran menyatakan ia hanya berakhir di selatan Lautan Hindi. Ya Allah, kau Maha Mengetahui segala yang langit dan di bumi ini, permudahkanlah usaha pencarian semua pihak. Berilah petunjukmu walaupun sedikit. Tabahkanlah hati-hati kami, Ya Allah!


No words to describe the feeling right now :(

Tuesday, March 18, 2014

Pastikah?

Tak pasti sampai bila
Entah esok entah lusa
Jalan dititi masih sama
Tak pernah berubah walau kadang sengsara

Mungkinkah semuanya akan terjadi
Rasa hati berkata belum pasti
Jerih juga memikir apa yang bakal dilalui
Namun percaya segalanya adalah takdir Illahi.


Mood: Lama pulak rasa tak mengarang. Sebenarnya tak sempat + kekurangan idea. Hehe. Tak ada benda nak dibebel hari ini. Cuma, Alhamdulillah, Allah telah turunkan hujan di muka bumi  Kedah ni. Mostly, kat tempat lain pun ada hujan. Siap lebat lagi. Dekat Alor Setar, especially kawasan aku, masih lagi dianugerahkan hujan renyai-renyai. Tapi dah cukup untuk buat semua orang mengucap syukur kerana akhirnya basah juga bumi Alor Setar ni. Cuaca mendung sudah cukup buat hati ini gembira.


Subhanallah..this is the most breathtaking scenery I've ever seen. Aku sangat suka cuaca mendung begini. Sangat-sangat suka. Sumber pic: http://www.lifebuzz.com/ireland/ 


Tuesday, March 11, 2014

Kau Ku Nanti


Kini
Seluruh dunia
Tercari-cari
Ternanti-nanti
Tak tahu bila kembali
Ia ditunggu-tunggu
Ia mengundang pilu
Ia membawa syahdu
Rupanya pergi ia membisu
Pulanglah
Bawakan kegembiraan mereka kembali
Bawakan pengharapan mereka kembali
Bawakan semangat mereka yang masih berapi
Benarlah
Kuasa Allah S.W.T tiada tandingan
Tiada siapa mampu menidakkan
Namun
Jika ia di langit maka turunkan
Jika ia di laut maka timbulkan
Jika ia di darat maka tunjukkan
Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Mood: Allahuakhbar,Allahuakhbar,Allahuakhbar! Berita pasal kehilangan pesawat MH370 ni sangat memberi kesan kepada rakyat Malaysia. Tak terkecuali aku. Setiap masa asyik terfikir ke mana menghilangnya ia. Ke mana perginya ia. Jika selamat, pulanglah. Jika sudah tiada, tunjukkan mana tempatnya. Sedangkan kita yang tiada kena mengena ni pun begitu terkesan dengan peristiwa ini, bagaimanalah perasaan ahli keluarga dan sahabat setiap penumpang. Namun, setiap apa yang terjadi, kita haruslah akui, Allah adalah sebaik-baik perancang dan juga apa yang terjadi di kala ini hanyalah Dia yang lebih mengetahui. Selain dari teknologi yang canggih digunakan untuk mengesan MH370, aku agak pandangan dan doa dari alim ulama juga amatlah diperlukan. Namun, bukan B.O.M.O.H! Silap-silap boleh jadi syirik kita. Tolonglah minta pertolongan dengan ilmuwan agama yang masih ramai di negara kita ni. Tolonglah!


#prayforMH370

Thursday, March 6, 2014

Emosi

Sakit ini
Kau tak tahu kan?
Kalaupun kau tahu
Kau tak bisa merasakan
Sesakit mana yang aku rasa
Kau hanya cuma mampu
Mengelak dan menjauh
Kerna
Kau tak mampu
Untuk bersama aku
Mengharungi dan mengambil sedikit
Kau sombong tahu?
Padahal
Kau yang mula mencipta semua
Kali ini
Biarlah satu dunia tahu
Betapa sakitnya aku!


Mood: Tolonglah. Kalau masih lagi hak orang, dan belum terlerai lagi apa-apa ikatan antara mereka yakni mereka masih mempunyai hak antara satu sama lain, tolonglah jangan yang lain dan masih belum boleh dipanggil 'itu hak aku', janganlah kau cuba-cuba untuk berbuat seperti dia hak kau. Boleh kau pejam mata kejap tak, dan bayangkan, macam mana satu hari nanti jika kau berada di tempat dia? Kau boleh rasa tak yang kau akan bertindak macam apa yang dia buat sekarang? Atau kau memang jenis yang akan senyap saja, kononnya sebab tak lama lagi perkataan 'hak' itu sudah tiada? Kepada yang menanggung, kalau dah begitu gayanya, relakan dan lepaskanlah. Jangan takut sebab ada benda yang lebih baik akan menanti kau di kemudian hari. Jika pelindung yang kau harapkan itu pun tak mampu melindung, malah cuba untuk membangkang kau, untuk apa lagi kau mempertahankan?

Sumber Pic: Google Image




Sunday, March 2, 2014

Kerana Kata

Kadang kata
Senang dimula
Namun jua
Susah diduga
Mungkin saja
Mampu menerima
Ada pun jua
Susah dikota
Lidah kita
Kata berpujangga
Menipu dusta
Dia yang juga
Indah berbahasa
Dia yang mencipta
Setajam senjata
Dianggap serupa
Silap berbunga
Binasa melanda.


Mood: Macam ni lah, perlukah menengking bila kita ditegur? Kadang ada manusia mampu terima, ada juga yang pada awalnya tak mampu tapi bila difikir semula, diakui kesalahan sendiri dan ada juga manusia yang memang tak boleh langsung dia ditegur. Tapi, bila dia menegur kesalahan orang, dia mahu teguran dia diterima. Tahu tak apa orang panggil ni? E.G.O. Ya, memang setiap manusia punya ego masing-masing. Tapi cukup-cukuplah tunjukkan keegoan tu. Tak bawa ke mana pun. Penat melayan ego orang. Kekadang, janggan anggap ayng muda tak boleh menegur yang tua. Memang, yang tua lebih banyak makan garam, Tapi, belum tentu garam yang tua penah telan & rasa itu kesannya sampai sekarang. Mungkin, perasa masin garam tu hanya bertahan seketika, lepas tu hilang. Ha, yang muda ni datanglah nak ingatkan balik perasa masin tu. Tak salah kita yang muda menegur, tapi kena beradablah. Yang tua pun, apa salahnya terima teguran yang muda. Tak jatuhkan maruah anda pun. Ini tidak, bila ditegur, melenting! Sabar ja la.


Sumber Pic: Google Image


Tuesday, February 25, 2014

Cerita Aku (Bukan Kau)

Bagaimana
Untuk aku mulakan
Sedangkan
Kau tidak sedikit
Menoleh melihat
Memberi perhatian
Aku tak mampu
Berbuat seorangan
Jika
Kau anggap
Ini semua permainan
Aku perlu
Untuk mencari pengakhiran
Kerana
Kisah kita
Sakit aku
Dan racun kau
Bisa buat aku terjatuh
Tanpa mampu bangun
Sekuat sebelum lagi.


Mood: Kemarin dapat berita gembira. Kes pertama menang di tahun 2014. Alhamdulillah, walaupun yang menang bukan kes bicara penuh, hanya sekadar permohonan, tapi tetap rasa lega. Kena work hard lagi lepas ni. Kena study & belajar banyak benda lagi. Nanti kalau asyik kalah ja, malu la aku dan bos. Hehe. Tapi pernah juga sorang senior lawyer a.k.a kawan bos bagi nasihat pada aku. "Kita ke court bukannya dengan matlamat nak menang semata-mata, tapi kita bawa kes client dan berjuang untuk keadilan client. Kalah menang tu kerja Mahkamah. Mahkamah yang tentukan. Jadi, kena ingatkan client kita. Tapi, jangan pula buat kerja halai balai (melepaskan batuk di tangga). Kena buat kerja betul-betul supaya client tak rasa membazir bayar sebanyak itu pada kita." Terima kasih sifu (ini sifu kedua selepas bos, hehe). Saya akan ingat pesanan tu sampai bila bila. Setiap lawyer ada prinsip dia masing-masing. Mungkin ada lawyer yang sanggup bermusuh, bermasam muka dengan kawan-kawan lain semata sebab anakguam masing-masing. It depends. :)

Sumber Pic: Google Image

Thursday, February 20, 2014

Tahu?

Tahu tak?
Terkadang bagai lalang ditiup angin
Terkadang bagai pungguk rindukan bulan
Terkadang bagai menanti kucing bertanduk

Nak tahu lagi?
Terkadang rasa macam tak mampu
Terkadang rasa tak tahu
Terkadang rasa semacam pilu

Ya
Kau tak tahu
Sebab hanya aku yang tahu.


Mood: Apa pun, kita sebagai manusia kena didik hati untuk menjadi redha. Ya, redha dengan konteks redha yang sebenarnya. Dengan belajar menjadi redha, inshaAllah hati akan tenang menerima segalanya. Tau, bukan senang. Kadang mulut saja mengungkap redha, tapi dalam hati masih sukar menerima yang terjadi. Kita manusia kan. Kita yang mengawal segala pergerakan dan apa saja berkenaan kita. Tak ada orang boleh tolong buat untuk kita, kalau kita sendiri yang tak mau tolong diri kita. Dan inshaAllah sekiranya kita dah berazam dan mencuba, Allah akan tolong kita. Allah tak pernah biar kita keseorangan. Carilah Dia, sebab hanya Dia yang sanggup dan sudi dengar apa saja yang kita katakan walaupun dah berpuluh ribu, berjuta kali kita ulangkan benda yang sama. Semoga dengan mengamalkan redha hati kita akan tenang dan tidak gelisah. Ikhlaslah! ;)


Sumber Pic: Google Image

Sumber Pic: Google Image



Monday, February 17, 2014

Apa Sebenarnya

Resah rasa
Gelisah hati
Robek jiwa
Apakah sebenarnya?

Cuba mencari
Jenuh menanti
Puas meneka
Dimanakah ia?

Kosong mindanya
Buntu fikirannya
Mati akalnya
Bagaimanakah mahu menggapainya?


Mood: Sibuknya seharian di ofis. Nama pun kerja kan, sampai bila takkan habis. Bersyukur sebab punya kerja. Ada benda dan isu yang nak dibebel hari ni. Macam mana ya, kalau kita boleh perlakukan orang sebegitu, tapi kita tak dapat terima bila orang lain perlakukan kita juga sebegitu. Bukan bermaksud balas dendam. Ok, macam ni la. Contohnya, bila kau boleh bergurau kasar dengan orang, tapi bila orang lain bergurau kasar dengan kau, kau pula tak boleh terima dan terasa hati? Maksudnya, di sini, kau tak sedar yang gurauan kau tu kasar. Masalahnya, bila orang lain bergurau jenis yang sama amcam kau pun, kau anggap kasar. So, maksudnya, kau pun bergurau kasarlah. Patutnya kau tak boleh terasa hati, sebab ada tak kau fikir yang orang lain pun terasa hati dengan gurauan kasar tu? Seriously, aku akan bercakap @ bergurau ikut cara orang yang tengah bercakap @ bergurau dengan aku. Bila dia boleh berlawak kasar, aku akan expect dia pun boleh terima cara lawak kasar orang lain. Jadi, maksudnya, cara aku melayan orang ikut macam mana layanan orang tu lah. Oh, maksud berlawak kasar di sini, bukannya bertumbuk @ mengenakan orang eh. Orang utara ni cakap dia memang bunyi kasaq. Mungkin kalau orang luar dengar akan anggap kami ni ganas, tapi sebenarnya, kata-kata kita saja. So, ingatlah, what we give, we get back! Jangan expect kau boleh berlawak kasar dengan orang, tapi bila orang tu nak bergurau kasar sikit dengan kau, terus kau sentap. Oh pelisssss~

Sumber Pic: Google Image


Wednesday, February 12, 2014

Mana Kau?

Kejap kau datang
Kejap kau pergi
Mana satu ni?
Kau ingat aku apa?
Tak ada hati dan perasaan?
Aku bukan macam kau
Mudah memberi
Mudah juga menerima
Sekali aku sayang
Selamanya aku sayang
Tapi kau?


Mood: Baru terajin balik nak menulis dan mengarang. Kurang pula idea sejak dua menjak ni. Hehe. Otak asyik ligat mengarang hujahan ja, sampai dah semakin kurang idea untuk berbahasa puitis. Cewahh, puitis sangat kan. Hehe. Cuma, pengajaran dalam hidup untuk hari ini, sebagai lawyer, kita kena harus belajar memahami, yang bergaduh client, bukan lawyer. Kita sama-sama fight untuk client masing2. Jadi, tak bolehlah emo sangat sampai tak nak bertegur sapa, sampai tak mau bersua muka. Come on learned friends~clients tak selamanya dengan kita, tapi persahabatan kita tetap akan kekal. Segan (term org utara yang maksudnya adalah 'malu') nih tambah2 opponent kau adalah senior lawyer. Takkan kau nak jadi macam biadap sebab tak bercakap dengan senior lawyer angkara kes kau berdua. Tapi, kalau dia yang buat kau macam tu?


Sumber Pic: Google Image

Sunday, February 9, 2014

Kehidupan

Hidup ini
Bukan fantasi namun realiti
Namun
Bukan juga berkekalan selamanya
Ia ibarat pentas percobaan
Untuk semua anak cucu Adam
Tiba masanya
Kita semua bakal kembali
Kepada Sang Pencipta.



Mood: Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, Tuhan pencipta semesta alam. Semalam aku berkesempatan untuk turut serta dalam Mahabbatul Rasul..Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman. Sangat tenang dan sangat mendamaikan bila dengar alunan qasidah dan zikrullah. Ramai juga umat Islam yang hadir. Memang penuh dan sesak. Cuma terkilan sikit sebab aku sampai bila program dah mula. Aku baru terperasan yang pihak penganjur ada bekalkan buku panduan selawat. Tapi disebabkan aku sampai sedikit lewat, jadi redha ja la untuk ikut depa selawat sebab bukan semua yang aku hafal. Yang aku perasan ada dua tiga orang adik-adik yang ada buku tu tapi depa simpan ja & buat gulung-gulung ja. Macam nak pi mintak ja kat depa. Huhu. Tapi apa pun, program tu memang terbaik.

suasana yang sempat aku captured

P/s: Boleh tengok kemeriahan sambutan Mahabbatul Rasul di sini. Terima kasih kepada sapa yang upload di youtube ;)

Tuesday, February 4, 2014

Lalai

Aku
Mungkin hadir sebagai penawar lukamu
Mungkin jua sebagai pengubat sepimu; dan
Mungkin jua sebagai pendamping mimpimu

Kau
Tak pernah langsung merawat dukaku
Tak pernah jua meneman kecewaku; dan
Tak pernah jua memimpin realitiku

Kau pinta aku begitu
Aku hanya mengharap kau maju
Tapi sedar-sedar itu semua palsu
Aku berharap kau juga menjadi begitu

Selama mana aku mampu mendamba
Walau ternampak kau bukan tercipta
Tak sanggup bahagia hanya atas derita
Sampai masanya aku mengundur jua.



Monday, February 3, 2014

Hanya Rasa

Terkadang hati bertanya
Sampai bilakah
Perasaan ini perlu disini
Kenapa
Perlu wujudnya ia
Tanpa rasa bersalah
Mengungkit segalanya
Walau sekadar hadir
Untuk mencengkam jiwa.


Mood: Cuti 3 hari terasa sangat lama. Haha. Padahal kalau hari kerja tu, asyik tertunggu-tunggu ja hari cuti. Selagi bernama manusia! Memanglah, semua tak pernah cukup/puas. Cuti 3 hari memang sangat dihabiskan sebaik mungkin berehat di rumah. Tak sabaq nak join Malam Cinta Rasul yang akan diadakan di Stadium Darul Aman. InshaAllah. Jom!


Istimewa buat warga Kedah!
Pakat mai ramai-ramai ke Stadium Darul Aman, Alor Star, Kedah pada 8 Februari 2014, jam 9.00 malam. Berselawat dan berqasidah bersama Habib Syech Assegaf di MALAM CINTA RASUL.
Jangan lepaskan peluang keemasan ini!
info: FB TVAlHijrah

Tuesday, January 28, 2014

Untuk Kefahaman

Jangan kau berikan dia harapan
Andai kau tak mampu menunaikan

Jangan kau berikan dia janji
Andai kau tak mampu tepati

Jangan kau berikan dia cinta
Andai kau tak mampu beri dia bahagia

Jangan kau berikan dia sayang
Andai kau tak mampu buat dia terbang

Jangan kau berikan dia derita
Andai kau tak mampu mencipta syurga.


Mood: Yahhh, masa untuk perah otak. Nak kena karang hujahan. Tapi sebelum tu, kita karang di sini. Hehe. Apa yang aku nak highlight di sini, rezeki ada di mana-mana. Satu ja, banyakkan bersedekah. InshaAllah, rezeki kau akan bertambah-tambah. Ini benar. Sesungguhnya janji Allah itu pasti kan. Kau sedekahlah dengan seikhlas hati. InshaAllah ada keberkatan dalam setiap rezeki kau yang akan datang. Yakinlah! ;)

Sumber Pic: Google Image

Monday, January 27, 2014

Kaulah!

Kerap kali rasa itu bertandang
Masih melekat dan terkesan
Mengapa sukarnya
Rasa itu untuk dibuang

Kerap kali fikiran itu muncul
Masih menghantui dan membayangi
Mengapa sukarnya
Fikiran itu untuk ditutup

Perasaan dan fikiran itu bergabung
Membuatkan kau selalu berada di situ
Tolonglah untuk sekali ini
Kau jangan muncul dan hampir lagi

Kerana kaulah aku begini.


Mood: Aku kesian dengan manusia pendendam. Sebab hidup dia akan jadi tak tenang. Otak tu asyik berfikir macam mana nak balas dendam. Sampai sanggup buat apa saja. Dia lupa ka Allah ada? Allah Maha Mengetahui segalanya. Dia lupa aku rasa. Janji dia puas bila tujuan jahat dia tu tercapai. Satu lagi aku rasa dia lupa yang karma itu sentiasa ada. Allah bayar 'cash' sekarang ni. Mungkin kali ni kau buat kat orang, tapi nanti kalau tak kena balik dekat kau, akan kena dekat orang terdekat kau. Sebab itu ada pepatah 'what goes around, comes around'. Kita beralah dan mengundur bukan maksud kita kalah. Bukan maksud kita hanya tunduk. Tapi kita mengalah sebab kita bukan macam dia. Kalau kita ikut berdendam macam dia, kita pun samalah macam dia. Tak pa, Allah ada.

Sumber Pic: Google Image

Saturday, January 25, 2014

Mimpi Itu

Dari jauh
Ia tiba
Semakin mampir
Dan semakin dekat
Bergolek-golek ia berpusing
Minda arahkan untuk menjauh
Tapi
Badan kaku tak mampu berganjak
Apa itu?
Terkelu tak daya
Hanya bisa memejam mata
Apabila dibuka
Ia hilang entah ke mana
Tersedar
Ilusi cuma.

Mood: Tengah mai balik mood & idea nak mengarang cerita. Hehe. Kalau aku rasa ok, nanti bolehlah masukkan dalam blog sebagai entry. ;)

Objek mimpi itu lebih kurang macam ni. Mimpi ini sejak kecil. (Sumber Pic: Google Image)

Thursday, January 23, 2014

Cuba

Susahnya..
Payahnya..
Sukarnya..
Mengapa aku?
Konon
Ingin redakan hati sendiri
Dengan menyata bahawa
Sudah mampu melupa
Tapi
Makin mahu melupa
Makin dia tiba
Jahatnya!
Yang pasti
Tak siapa mengerti rasa ini
Sampai bila-bila pun.


Mood: Entry ni aku buat khas untuk hang! Hehe. Kita sama-sama saling meluah rasa hati. Aku faham, takkan ada sapa pun yang akan faham apa yang hang rasa. Dulu aku suruh hang move on, tapi laa aku akan mintak hang teruskan dengan apa yang hang rasa sebab aku tau, bukan hang tak cuba lupakan dan abaikan, tapi dah banyak kali hang cuba dan setiap kali tu la hang tak berjaya. Haha. Kita tak tau apa akan jadi pada masa depan, even esok pun kita takkan tau. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ni (yes, aku tau ini cliche, but who cares?haha) Cuma, aku harap hang jangan terlalu berharap, sebab aku tak mau hang kecewa melampau. Kalau hang tak dapat, percayalah, dia bukan yang terbaik untuk hang. Percayalah!

P/S: Hari ni banyak waktu untuk menulis, so kita cover balik hari-hari yang tertinggal. Peace.

Nahhh, untuk hang. Untuk aku? Tak perlu dah kot.haha (sumber pic:google image)



Isi Hati

Kadang terfikir
Mampukah aku
Kadang terlintas
Dayakah aku

Jenuh
Berfikir dan terlintas
Semoga satu hari nanti
Sinar itu bercahaya

Dan ada.

Mood: Pheww~memang sungguh busy minggu ni. Kemarin saja bicara sampai pukul 5. Black & white telah conquer minggu ni, tak bagi chance langsung dekat colourful attire. Hehe. Kadang-kadang hati ada bimbang dan ragu. Tapi tak pasti sebab apa. Boleh macam tu? Allah, tenangkanlah jiwa dan nuraniku. Amin~

Sumber Pic: Google Image




Saturday, January 18, 2014

Ilusi

Tika
Kita sedang meniti mencari
Tika
Kita sedang meratap memerhati
Kelam malam pun berlabuh
Segalanya tampak kosong
Apa yang kita cari
Apa yang kita perhati
Tidakkah kita sedari
Kala ini
Segala yang kita ingini sebenarnya
Itulah yang kita cari dan yang kita perhati.

Mood: Weekend yang sangat tenang. Tenang sangat. Alhamdulillah, syukur Ya Allah, masih merasai untuk bernafas saat ini. Angin timur kata mama. Hehe. Walaupun hangat, tapi angin mendayu-dayu.

Ini masa kami di Amanjaya Mall, lepas ambik kakcik dari UiTM Merbok. Tudung penyek sebab angin kuat. Hehe


Thursday, January 16, 2014

Pengecut

Agaknya
Kau bisa hidup tenang
Dengan buat aku macam ini
Agaknya
Kau mampu hidup damai
Dengan buat aku macam ini
Kau
Tak ubah seperti mereka mereka
Kau
Hanya pandai menawan
Tapi tak boleh memiliki

Kau bukan perkasa pun kan?


Mood: Ok, ready untuk bicara minggu depan pulak. Ingatkan kes boleh settle out of court, tak mau juga depa ni settle. Tapi takpa la, aku menjalankan amanah yang diberi, kalau dah bincang pun tak boleh settle, apa lagi, go for hearing la kita! Chaiyok2 Liyana! Hehe. Tak kira la berapa kali jalan bicara pun, debaran tetap ada. Hanya mampu berdoa agar segalanya dipermudah saja. Amin~


Sumber Pic: Google Image


Wednesday, January 15, 2014

-Mimpi-Rupanya-

Kau datang lagi
Menghantui hari-hari aku
Kau pujuk
Kau tatang
Kau perhatikan aku

Bila saat kau datang lagi ini
Kau nyatakan pada aku
Kau takkan pergi lagi
Kau takkan jauh lagi
Kau takkan hilang lagi

Aku senyum
Aku gembira
Aku tertawa
Kerana
Itulah saat yang aku tunggu-tunggu
Untuk terjadi

Kau telah datang lagi
Dan kau telah berjanji lagi
Kau telah buatkan aku
Melayang bagai dandelion terbang
Maka
Kau dan aku telah sama mengikat janji

Tapi sebenarnya dan rupanya
Aku telah bermimpi saja
Mimpi yang tanpa menutup mata.


Mood: Baru balik dari bicara. Ada banyak yang perlu aku perbaiki lagi. Belum sempurna lagi perbicaraan  yang aku conduct. Kena usaha lagi! tapi Alhamdulillah, dipermudahkan segala urusan aku. Syukran Ya Allah! Hari-hari aku sibuk dengan kerja. Hari-hari juga fikirkan pasal kerja. Benarlah kata orang, kerja sampai bila pun tak pernah habis. Benar juga kata seorang kawan, ada hikmahnya mengapa aku sendiri sekarang. ;)

Sumber Pic: Google Image

Monday, January 13, 2014

Aku Tahu

Kau buat aku rasa hilang
Kau buat aku terbang
Kau buat aku rasa sayang
Kenapa kau buat?

Tapi aku tahu
Yang kau tak pernah mahu
Kau saja mencipta semua itu
Kenapa kau buat?

Kau
Memang saja begitu kan?
Kau
Sengaja bagi aku rasa semuanya
Tapi kau lari selepas aku begitu
Kau
Takut untuk mengaku sebenarnya kan?

Sebab kau juga
Punya rasa yang sama macam aku
Tapi kau tahu kau tak mampu.


Mood: Penatnya hari ni. Bicara habis pukul 4 petang. Itupun pihak sana masih belum tutup kes. Tapi, syukur Ya Allah, segalanya dipermudahkan buat aku. Kurang tekanan namun penat otak dan juga badan. Esok cuti, so bolehlah berehat sat dan teruskan study kes lain sebab ada lagi bicara! Semoga dipermudahkan jua untukku. Amin~ ;)

Sumber Pic: Google Image

Sunday, January 12, 2014

Cinta Dulu Kala

Aku tengok kau
Kau lihat aku
Mata kita saling memandang
Mungkin jua
Hati kita saling bertentang
Kita sama-sama senyum
Mulut seperti ingin mengungkap
Namun
Kita hanya rasa
Cukuplah kita cuma terbias oleh
Pandangan mata dan hati masing-masing
Sepertinya
Aku tahu apa kau rasa
Seakannya
Kau tahu apa  yang aku rasa
Akhirnya
Kita berlalu begitu saja
Itulah
Cerita cinta monyet kita
Pastinya
Kau dan aku
Akan mengenang hingga ke akhirnya.


Mood: Pasai apa tak tau, tak rasa ketaq sangat untuk bicara esok. Amboi, macam bongkak ja kan kenyataan macam tu. Tapi, janganlah tengok dari sudut negatif, kawan. Pandanglah dari sudut positif kerana Allah telah memberi kemudahan ini. Semoga hari esok akan dipermudahkan lagi perjalanan aku. InshaAllah. Psstt, rasa hati semakin pasti. Terima kasih Allah, sesungguhnya doa seorang hamba pasti tidak akan sia-sia. :)

Sumber Pic: Google Image

Saturday, January 11, 2014

Ya

Sebenarnya
Rasa sakit itu masih ada
Ya
Rasa itu masih tersimpan di sini
Ku kira ia sudah terbang jauh
Namun
Sekali sekala
Bila kau menjengah ke sini
Baru aku tahu
Yang sebenar dan benarnya
Rasa sakit itu
Ya
Masih sedikit muncul
Pabila kau timbul.


Mood: Hari minggu yang mendamaikan. Syukran Ya Allah atas nikmat-Mu! :)

Sumber Pic: Google Image


Thursday, January 9, 2014

Caca Merba

Minggu sibuk sedunia!

Sebab tu takda idea nak mengarang puisi. Katanyaaa..hehe.

Tak tahu apa yang nak dibebel. Tak tahu apa yang nak dileter.

So, dah masuk 9 hari dalam tahun 2014 ni, Alhamdulillah, things went well.

Nak menghadap lagi 356 hari, semoga diberi keberkatan dan dipermudahkan urusan.

Tapi, fahamlah, yang hidup ni tak selalunya indah, langit tak selalu cerah (nyanyi lagu Hijjaz,hehe).

Cuma, mampu cuba yang terbaik untuk mengharungi kehidupan ni.

Kita tak tahu apa akan jadi pada masa depan. Ya, kita hanya mampu merancang.

Macam aku. Hari tu dah yakin-yakin konon nak sambung balik mengarang novel, tapi akhirnya terbenkalai macam tu ja.

Kan dah cakap, kita hanya mampu merancang. Katanyaaa..hehe


Mood:  Minggu depan ada 2 bicara menanti..selang sehari ja pulak tu. Rabbi yasir wala tu'asir rabbi tamim bil ghair. Aminn~


Sumber Pic: Facebook


Tuesday, January 7, 2014

Tika Karma

Tika karma itu menjenguk
Kau terkulat meneguk
Segala ingatan merasuk
Sampai kau muak terliuk

Kau percaya karma?
Bagi kita ia umpama
Hukum alam yang pasti sama
Kau buat, kau dapat semula

Saat karma datang
Kau rasa ia bagai bayang
Apa segalanya berpusing melayang
Baru kau sedar, oh itulah rasa sebenar orang yang menatang

Hidup ini tak lama pun kawan
Kau sangka kau terlepas segala beban
Namun rupanya dalam diam ia buat kau meroyan
Kalau tak kena sekarang, kau tunggu sajalah tiba masanya pusingan.


Mood: Perghh, bz  yang amat minggu ni & minggu lepas. Tak sempat nak menaip cari cerita pasal dunia. Ewahhh hehe. Cuma satulah. Dugaan macam mana tetap ada & datang. Pandailah kita macam mana nak mengadap dia. Ujian kan mendewasakan kita! :)


Al-Fatihah untuk arwah kawan baik aku, Nur Adilah Binti Abd Ghani. Dila, orang selalu ingat dila. Tak sangka itu kali last orang cakap dengan dila bila dila call bagitau nak balik kampung. Esoknya, bukan dila yang sampai kat kampung, tapi cuma jasad dila yang dah tak bernyawa saja yang balik. I miss u bestfren! Rindu nak gaduh dengan dila. Hehe. Semoga syurga tempatmu, sahabat.

Sunday, January 5, 2014

Aku Agak Kau

Agaknya
Kau tak pernah merasa
Ataupun
Kau hanya berpura
Agaknya
Kau fikir semua adalah boneka
Ataupun
Kau hanya ingin yang sempurna

Agaknya kau fikir kau siapa
Sebab itulah kau permainkan semampunya.


Mood: Hari ni baru sempat menulis. Dan hari ni takda court case. Diari dah mula penuh. Maka akan bermulalah kesibukan dengan bicara-bicara. Alhamdulillah, masih mampu bernafas sehingga detik ini. :)


Sumber Pic: google Image

Wednesday, January 1, 2014

Hikayat Cinta

Mudahnya untuk kau berkata
'Aku cinta kamu'
Mudahnya juga untuk aku percaya, seraya berkata
'Aku cinta kamu juga'

Walhal
Tak aku sedar
Di sebalik ucapan yang kononnya berhikmat
Tak bermakna sepatah langsung pun untuk kau

Aku tertipu, tahu?
Maka
Bolehlah kau bergelak tawa bersenang lenang
Kau jahat, tahu?

Pergilah, jauhlah
Untuk kau
Ini ucapan keramat aku
'Selamat kau pergi dan jangan kau kembali'.


Mood: i) Alhamdulillah, kekuatan ini aku tahu datangnya dari mana. Bukan bergantung kepada aku sepenuhnya, namun Dia Yang Esa punya segala. Gundah gulana, jauhlah kau dari hidup aku. Semoga hari-hari seorang aku dilalui dengan penuh bahagia, senyuman dan keberkatan. Amin~

ii) Banyak pula koleksi himpunan puisi2 yang aku jumpa. Dan kesemuanya berjaya diborong dengan jayanya. Haha. Tapi yang best2 ja la. Hehe. Antaranya, seperti gambar2 yang berikut. Ada yang belum habis baca. Tapi, memang best. Haha.

Sumber Pic: Google Image



SumberPic: Google Image

Sumber Pic: Google Image
Sumber Pic: Google Image